Thursday, 13 March 2014

Pejuang Melayu : Tok Janggut dari Pasir Puteh

http://winkvirus.files.wordpress.com/2013/12/tok-janggut33.jpg?w=627 
TOK JANGGUT atau HAJI MAT HASSAN

(i) Latar belakang
- nama sebenar Haji Mat Hassan bin Munas
- dikenali sebagai Tok Janggut kerana beliau menyimpan janggut hingga ke paras dada
- dilahirkan tahun 1853 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan
- mendapat pendidikan pondok di Kelantan dan Makkah
- mahir dalam ilmu persilatan
- menetap di Kampung Nering, Kelantan
- bekerja sebagai petani dan peniaga

♣FAKTOR PENENTANGAN♣

a)British memperkenalkan peraturan cukai tanah yang mewajibkan petani membayar cukai tanah pada tahun 1915.
b)Petani dikenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti cukai pokok kelapa yang berbuah,cukai pokok pinang,cukai daun sirih dan ternakan lembu serta kerbau.Antara yang paling sensitif ialah pengenaan cukai seperti berikut:

· cukai tanah
· cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun
· cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun
· kelapa sebanyak 3 sen setandan
· sireh sebanyak 5 sen sejunjung
c)Kesukaran membayar cukai kerana pejabat cukai terletak di bandar.Penduduk yang gagal membayar cukai akan di tangkap dan didenda.Sikap biadap pengawai British yang bertugas menimbulkan kemarahan penduduk terhadap British.
d)Sentimen anti-British meningkat apabila kerajaan Turki Uthmaniyah menyeru umat Islam berjihad menentang penjajah Barat.Tok Janggut menyahut seruan tersebut dengan melancarkan penentangan terhadap British di Pasir Puteh.

:: TOK JANGGUT PEJUANG JIHAD ::

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.
Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.

Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.
Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.
Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.
Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.
Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.
Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.
Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.
Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.
Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.
Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.
Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.
Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.
Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.
Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.
Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.
Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.
Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.
Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.
Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.
Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.
Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.
Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.
Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.
Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.
Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan
http://winamp05.ucoz.net/Tok_Janggut/tok4.jpg
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiFmRd2fiat7Z_1Rxxvgn9amGkMf4lr8ifk1fq7giJWj1LeCjDxAc4DyX34Q_SFiQ0kdDU9tj5S8M93dyvn9uSG6wxvY5Zy9Gn_KSmocAF1RqgqgRQES6lFuKaz1s0ZRvuMJhrCA0-DY2jF/s1600/tok+janggut+ops.jpg



Kisah Tok janggut ii



Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff, menggantikan Engku Besar. Engku Besar ialah cucu kepada Tengku Sri Maharaja Long Seri Ibni Long Gafar Limbat yang memperoleh kuasa mentadbir kawasan timur Kelantan secara turun temurun. Keadaan bertambah buruk apabila Encik Latiff, pegawai pentadbiran British yang berasal daripada luar Kelantan menjalankan tugasnya dengan tegas, khususnya dalam hal pengutipan cukai. Semua orang termasuk Sultan dan pembesar diwajibkan membayar cukai tanah. Dikatakan Sultan Kelantan mempunyai 3000 ekar tanah dan para pembesarnya mempunyai sekurang-kurangnya beratus-ratus ekar tanah. Keadaan ini juga tidak menyenangkan Sultan.

Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut. Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh. Pegawai Daerah kemudiannya lari ke Kota Bharu dan melaporkan kepada sultan bahawa Tok Janggut ingin memberontak dan merampas kuasa.

Tok Janggut kemudian menghimpunkan pengikut-pengikutnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Pengikut Tok Janggut kemudiannya mendirikan sebuah kerajaan di Pasir Puteh dengan Engku Besar Jeram sebagai Raja, Tok Janggut sebagai Perdana Menteri, dan Che Ishak sebagai Pegawai Daerah.

Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Ini ditambah lagi oleh peristiwa abang Tok Janggut telah dibunuh oleh budak raja oleh sultan sebelumnya menambah kebimbangan sultan mengenai kebenaran dakwaan British.

Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan. Pihak perisikan Inggeris mengesyaki bahawa terdapat kerabat diraja dan orang besar Kelantan dalam membantu pemberontakan Tok Janggut. Antaranya ialah Tengku Chik Penambang (Tengku Panglima Raja) dan Tengku Abdul Ja'far Ibni Sultan Muhammad II (Tengku Petra Dalam Kebun) Tengku Abdul Ja'far sebelumnya memakai gelaran Tengku Temenggong Kelantan dan melarikan diri ke Pattani apabila dinafikan hak menaiki takhta Kelantan.

Perjuangan Tok Janggut ini juga sebenarnya adalah datangnya dari semangat pahlawan-pahlawan Pahang iaitu Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman serta pengikut-pengikutnya. Ke semua pejuang-pejuang Pahang ini bersembunyi ke Terengganu, Kelantan dan Siam apabila pada ketika itu British telah mempengaruhi Kerajaan Pahang agar memusuhi mereka. Kerana tidak mahu bertempur dengan bangsa sendiri dan tidak mahu menderhaka kepada Sultan, akhirnya mereka melarikan diri ke Terengganu, Kelantan dan seterusnya Siam.

Begitulah ceritanya. Ceritanya bagaimana "Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah." Siapa yang mengapi-apikan gajah? British! atau talibarut yang dibayar gaji oleh British. Sekarang terpulanglah kepada kita hendak menghukum Tok Janggut sebagai Hero atau sebagai Penderhaka (macam cerita Hang Tuah dan Hang Jebat jugalah!). Kalau nak tahu detail cerita dan kronologi peristiwa ini dengan lebih terperinci, anda boleh buka buku karangan Cheah Boon Kheng, To' Janggut: Legends, Histories and Perceptions of the 1915 Rebellion in Kelantan:- (copy & paste)

https://fbcdn-sphotos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/1157741_565715946796814_1129563710_n.jpg
Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dan digantung beberapa hari di hadapan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sehingga berita sampai kepada Tok Kenali dan meminta ia diturunkan.  Mayat Tok Janggut dikebumikan di Pasir Pekan. (Nota: mungkin janggut Tok Janggut yang panjang sampai ke dada telah dipotong bagi menampakkan wajahnya).

Timbul pelbagai cerita dan versi tentang foto di atas. Ada pihak yang mengatakan foto di atas adalah propaganda British sebagai amaran kepada sesiapa yang berhasrat tunjuk perasaan. Wajah mayat tersebut adalah pengikut Tok Janggut, bukan Tok Janggut, dipercayai beliau telah melarikan diri ke Negeri Sembilan. Dan ada pula yang mengatakan mayat tersebut seorang benggali Sikh yang mati dibunuh. Wallaahu wa'alam.

Apa yang pasti ialah Tok Janggut seorang pahlawan Melayu yang memerangi penjajah. Biasalah, apabila dijajah, yang kena jajah mesti lawan balik. Apabila melawan maka dicap "pengganas" yang layak ditangkap dan dihukum mandatori "mati". Seperti yang pernah berlaku di Iraq, Afghanistan, Palestin, Korea, German dan lain-lain negara dalam dunia ini sejak sebelum Perang Dunia I dan II hinggalah sekarang.  Semangat Tok Janggut patut dibanggakan dan dijadikan tauladan.
  

No comments:

Post a Comment